27 November 2013

Pesanan Imam Syafie

Hanya mahu berkongsi untuk peringatan sahabat dan juga diri sendiri.



Sedikit latar belakang Imam Syafie

Nama sebenarnya adalah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal daripada keturunan Quraisy dari Bani Mutalib. Ayahnya meninggal dunia ketika Iman Syafie masih kanak-kanak. Ibunya bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd.

Beliau dilahirkan di kota Gaza, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu adalah Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah.

Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari Al-Quran. Beliau mula menghafal al-Quran sejak berusia sembilan tahun. Berusia 10 tahun beliau menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis Imam Malik. Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Ketika berusia 15 tahun, beliau mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram. Kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau di sanjung masyarakat. Beliau meninggal di Mesir tahun 204 hijrah ketika berumur 54 tahun.

30 PESANAN IMAM SYAFIE

1.            Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
                                                       
2.            Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3.            Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

4.            Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

5.            Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.

6.            Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

7.            Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8.            Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9.            Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.

10.       Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.

11.       Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12.       Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13.       Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

14.       Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.

15.       Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16.       Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.

17.       Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.

18.       Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19.       Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20.       Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.

21.       Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.

22.       Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23.       Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.

24.       Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.

25.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.

26.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rum ayat 47 yang bermaksud; "dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman."

27.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, "Allah membela orang yang beriman."

28.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, "Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman."

29.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

30.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, "sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka."



Semoga bermanfaat.


Dipetik daripada buku Imam Syafie - Pejuang Kebenaran karangan Abdul Latip Talib



Jadual Gaji 2014

Jadual gaji kakitangan kerajaan untuk 2014 sudah keluar. Dah boleh buat bajet untuk tahun 2014.


Semoga bermanfaat.



Mengomel Pasal Tugas

Assalamualaikum

Kali ini nak bercakap tentang tugas. Macam serius, tapi  akan diceritakan secara santai. Semua ini berkaitan dengan tugas aku sebagai pemeriksa cap jari. 

Kalau nak diikutkan, aku masih lagi belum mencapai tahap pakar, sebab baru bekerja dalam 6-7 tahun. Tapi memadai kalau nak buat penjenisan, pengkelasan dan menentukan karakteristik cap - cap jari yang diberi.

Dan semua tahu ada macam - macam jenis cap jari dan setiap individu berbeza. Jadi memang tiada masalah bagi aku. Tapi ada lagi yang lebih hebat sehingga tahap boleh bagi ceramah dan mengajar. Aku.....hanya yang biasa - biasa saja. Belum sampai lagi tahap sebegitu.

gambar hiasan

Tapi akhir - akhir ini, bidang tugas aku macam lari dari yang skop yang asal. Aku lebih banyak kena buat statistik rekod jenayah, dadah dan sebagainya. Sampai tahap nak tukar kerja rasanya. 

Arahan dari bos yang sekejap lain, sekejap lagi lain. Sampai satu tahap tak tahu dah nak ikut yang mana satu. Semenjak bertukar bos baru, itu yang jadi macam ni.

Tapi nak buat macam dah arahan. Ikut sajalah Labu.

Yang lawaknya, membangkang ramai juga, tapi belakang jelah. Depan - depan tak berani.

Kerja yang hakiki jadi terbengkalai semata - mata nak siapkan statistik. Jadi bidang tugas macam dah lari.

Kemusykilan yang selalu bermain di fikiran, Apa tugas aku sebenarnya?

Apapun aku bersyukur aku masih ada kerja dari menganggur. Itu yang sebenarnya.
Dan nawaitu masih sama, kerja kerana Allah.



24 November 2013

Syahid Yang Tertangguh

Seikhlas hati, aku tak pernah mengenali siapa gerangan empunya nama Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam. Tapi bila aku lihat video yang dikongsi oleh rakan. Subhanallah, sungguh hebat peribadi anak muda ini.

Tak terluah perasaan kagum aku kepada beliau. Allahuakbar.

Ihsan mencaridamai

Bila aku terus menerus menyelusuri peribadi beliau, alangkah bagusnya kalau aku mengenali beliau secara peribadi. Sungguh beruntung sahabat handai yang mengenali beliau dan sejuk perut ibu mengandung dapat anak soleh seperti beliau.

Banyak coretan dan nukilan beliau yang sangat terkesan dihati aku. Antaranya Syair Imam Syafie yang dikongsikan oleh beliau.

Ihsan GPTD

Dan pertama kali hati aku meronta - ronta untuk merantau ke negara orang. Insyaallah akan tercapai suatu hari nanti.

Sahabat beliau menggelar kematian beliau sebagai Syahid Yang Tertangguh. Hasrat beliau untuk syahid ketika berada di bumi Syria menyebabkan beliau digelar begitu.

Sungguh ajal maut di tangan Allah S.W.T. , tanpa diduga cara kematian beliau adalah akibat kemalangan di bumi Turki. Takdir Allah siapa yang menjangka.

Sifat terpuji dan aktiviti kemasyarakatan yang beliau sertai menyebabkan beliau mendapat kemuliaan sehingga dikebumikan di Perkuburan Eyub Sultan. Tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. 


Bila aku lihat peribadi beliau, terasa diri ini kerdil. Banyak bakti dan jasa beliau yang dicurahkan. Terasa diri ini bukan siapa - siapa jika dibandingkan dengan beliau. Terasa diri terlalu leka dan alpa dengan nikmat dunia.

Semoga jiwa Ahmad Ammar terus subur di dalam jiwa setiap umat Islam. Semoga semangat dan perjuangan beliau menjadi pedoman.

Semoga damai kamu disana.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ 



Link berita tentang Şehidimiz Ahmad Ammar:






Apa Yang Dah Dicapai?

Assalamualaikum,

Dah berbulan tak mengemaskini blog. Aktiviti menulis di blog dah kurang diamalkan. Mungkin dah tak ada cerita menarik yang nak dikongsi. Tapi, tipulah kalau tak ada cerita apa - apa kan?.

Cuma sekarang aku dah berkereta sejak 25/10/2013 lagi . Kereta ni memang keperluan. Susah kalau ada hal kecemasan. Nak harapkan motorsikal, memang tak lepaslah nak balik kampung. Sekarang kena berjimat cermat bila pakai kereta. Tak boleh nak berbelanja mewah sangat.

Cerita lain, azam aku kebanyakkannya dah tercapai. Tapi azam nak saiz macam dulu susahlah nak tercapai. Hati senanglah kata kan...;p
Orang lain senang je nak kurus, aku ni susah. Kena betul - betul diet. Nak harapkan ubat, minta maaf. Mungkin pilihan terakhir nak makan pil - pil ni semua.

Azam aku yang paling terkilan kalau tak tercapai, nak join sukarelawan. Aku pernah nak isi borang Islamic Relief. Tapi aku tak ada kepakaran khusus. Duit pun kurang. Yang ada cuma tenaga yang nak disumbangkan. Aku teringin sangat nak join aktiviti sukarelawan. Kalau ada sumber,  maklumat atau orang perseorangan yang boleh dihubungi, dialu - alukan. Yang penting sumber yang dipercayai.

Oklah, itu hanya beberapa cerita yang aku nak kongsi setakat hari ini. Insyaallah kalau ada masa update lagi blog ni. Untuk tatapan diri sendiri juga...