31 December 2013

Nota Hijrah

2013 bakal melabuhkan tirainya beberap puluh jam saja lagi. Tahun baru bakal menyusul penuh dengan 1001 cabaran, kejutan, khabar gembira, khabar buruk dan pelbagai berita lagi.



Setiap hari adalah satu penghijrahan buat setiap diri. Allah berpesan agar sentiasa memperhatikan apa yang telah dipersiapkan untuk hari esok. Lazimnya manusia suka untuk bermula pada satu titik. Kiranya eloklah kita jadikan mula 2014 satu titik untuk bermula semula.

Jika berasa tidak tahu di mana hendak bermula, maka mulalah dengan Bismillah. Sekecil-kecil perkara dalam hidup, mulalah dengan Bismillah. Bismillah bukan sekadar satu ucapan untuk mendapat keberkatan. Bismillah adalah satu pelaksanaan yang meletakkan Allah di hadapan. Bukan kemahuan diri di hadapan. Atau kemahuan sesiapa yang lain.

INSAN YANG SEDANG BERUBAH




10 December 2013

Dua Dekad Tragedi Highland Towers

Kronologi tragedi Highland Towers

Sebelum 1964: Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.

1964: Jabatan Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian. Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.

1974: Pembinaan bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat Highland Properties Sdn Bhd. Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd.

1978: Blok 1 Kondominium telah disiapkan dan diberi Certificate of Fitness (CF) oleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.

1981: Bangunan Blok 2 telah disiapkan dan diberi CF oleh Majlis Daerah Gombak dan telah mula diduduki penghuni.

1986: Bangunan Blok 3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG. Ia telah mula diduduki penghuni.

1 Julai 1992: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap projek tersebut.

1993: MPAJ telah memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.

November 1993: Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni.



11 Disember 1993: Pangsapuri Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari.

Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan PBSMM datang lebih awal. Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan bergoyang.

Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan, diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50, wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam. Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri Kabinet datang melawat.

12 Disember 1993: Penghuni Blok 2 dan 3 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember 1993: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi.

15 Disember 1993: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang.

Manakala empat mayat reput lagi dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember 1993: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember 1993: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga, lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember 1993: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers.

Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

14 Oktober 1997: Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak lebih dua tingkat.

14 November 1997: Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh.

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong.

Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab-Malaysian Finance Berhad, Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd.



Sumber: Sinar Harian



04 December 2013

03 December 2013

Cara Mudah Buat Tugasan (Assignment)

Assalamualaikum

Menyiapkan tugasan atau assignment yang diberikan oleh pensyarah memang menguji kesabaran. Tugasan tu pula perlu dibuat dalam tempoh masa - masa yang tertentu.

Bila tugasan yang diberi tidak dapat dibuat dalam masa yang ditepatkan, akan berlakulah "plagiat" atau meniru. Dan selalunya pelajar tertangkap sebab meniru bulat - bulat dari Internet seperti "wikipedia".


Jadi bagi pelajar yang macam aku, kerja sambil belajar, memang memerlukan bantuan disebabkan ketakcukupan masa.  Dan aku nak ajar cara menyiapkan assignment cara cepat tanpa meniru.

Pernah dengar Google Scholar? Google schoolar ialah tempat tersimpannya bahan rujukan yang boleh dipercayai dan boleh diibaratkan seperti perpustakaan di atas talian. Segala penyelidikan, kertas kerja, tesis dan bahan bacaan terdapat di situ.

Cara nak guna. Hanya taip kata kunci yang betul untuk ke bahan rujukan. Lepas ni tak perlu lagi memplagiat dari wikipedia.



Bagi pelajar yang perlu menulis tugasan dalam bahasa Inggeris, tentu menghadapi masalah sama ada tatabahasa di dalam tugasan adalah betul atau salah.

Kebanyakan pelajar mengharapkan Google Translate untuk menterjemah ayat - ayat di dalam tugasan. Apa kata lepas ni, buat ayat sendiri dan guna Grammar Checker untuk memastikan struktur ayat adalah betul.


Grammar Checker lebih sesuai bagi pelajar yang menulis tugasan di dalam bahasa Inggeris. Kadang - kadang, kita rasakan ayat kita betul tetapi salah dari segi tatabahasa.

Dan kita takut ditertawakan oleh pensyarah dan rakan sekelas, hanya disebabkan kesalahan tatabahasa. Lepas ni tak perlu takut "grammar" salah atau betul. Guna saja Grammar Checker.

Diharapkan dapat membantu pelajar menyiapkan tugasan dengan cemerlang. Bukan menggalakkan pelajar untuk buat kerja "last minute". Dan aku pun baru tahu bila dah habis belajar. Harap - harap berguna apa yang aku kongsikan ni.




27 November 2013

Pesanan Imam Syafie

Hanya mahu berkongsi untuk peringatan sahabat dan juga diri sendiri.



Sedikit latar belakang Imam Syafie

Nama sebenarnya adalah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal daripada keturunan Quraisy dari Bani Mutalib. Ayahnya meninggal dunia ketika Iman Syafie masih kanak-kanak. Ibunya bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd.

Beliau dilahirkan di kota Gaza, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu adalah Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah.

Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari Al-Quran. Beliau mula menghafal al-Quran sejak berusia sembilan tahun. Berusia 10 tahun beliau menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis Imam Malik. Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Ketika berusia 15 tahun, beliau mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram. Kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau di sanjung masyarakat. Beliau meninggal di Mesir tahun 204 hijrah ketika berumur 54 tahun.

30 PESANAN IMAM SYAFIE

1.            Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
                                                       
2.            Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3.            Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

4.            Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

5.            Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.

6.            Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

7.            Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8.            Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9.            Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.

10.       Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.

11.       Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12.       Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13.       Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

14.       Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.

15.       Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16.       Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.

17.       Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.

18.       Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19.       Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20.       Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.

21.       Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.

22.       Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23.       Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.

24.       Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.

25.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.

26.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rum ayat 47 yang bermaksud; "dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman."

27.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, "Allah membela orang yang beriman."

28.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, "Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman."

29.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

30.       Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, "sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka."



Semoga bermanfaat.


Dipetik daripada buku Imam Syafie - Pejuang Kebenaran karangan Abdul Latip Talib



Jadual Gaji 2014

Jadual gaji kakitangan kerajaan untuk 2014 sudah keluar. Dah boleh buat bajet untuk tahun 2014.


Semoga bermanfaat.



Mengomel Pasal Tugas

Assalamualaikum

Kali ini nak bercakap tentang tugas. Macam serius, tapi  akan diceritakan secara santai. Semua ini berkaitan dengan tugas aku sebagai pemeriksa cap jari. 

Kalau nak diikutkan, aku masih lagi belum mencapai tahap pakar, sebab baru bekerja dalam 6-7 tahun. Tapi memadai kalau nak buat penjenisan, pengkelasan dan menentukan karakteristik cap - cap jari yang diberi.

Dan semua tahu ada macam - macam jenis cap jari dan setiap individu berbeza. Jadi memang tiada masalah bagi aku. Tapi ada lagi yang lebih hebat sehingga tahap boleh bagi ceramah dan mengajar. Aku.....hanya yang biasa - biasa saja. Belum sampai lagi tahap sebegitu.

gambar hiasan

Tapi akhir - akhir ini, bidang tugas aku macam lari dari yang skop yang asal. Aku lebih banyak kena buat statistik rekod jenayah, dadah dan sebagainya. Sampai tahap nak tukar kerja rasanya. 

Arahan dari bos yang sekejap lain, sekejap lagi lain. Sampai satu tahap tak tahu dah nak ikut yang mana satu. Semenjak bertukar bos baru, itu yang jadi macam ni.

Tapi nak buat macam dah arahan. Ikut sajalah Labu.

Yang lawaknya, membangkang ramai juga, tapi belakang jelah. Depan - depan tak berani.

Kerja yang hakiki jadi terbengkalai semata - mata nak siapkan statistik. Jadi bidang tugas macam dah lari.

Kemusykilan yang selalu bermain di fikiran, Apa tugas aku sebenarnya?

Apapun aku bersyukur aku masih ada kerja dari menganggur. Itu yang sebenarnya.
Dan nawaitu masih sama, kerja kerana Allah.



24 November 2013

Syahid Yang Tertangguh

Seikhlas hati, aku tak pernah mengenali siapa gerangan empunya nama Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam. Tapi bila aku lihat video yang dikongsi oleh rakan. Subhanallah, sungguh hebat peribadi anak muda ini.

Tak terluah perasaan kagum aku kepada beliau. Allahuakbar.

Ihsan mencaridamai

Bila aku terus menerus menyelusuri peribadi beliau, alangkah bagusnya kalau aku mengenali beliau secara peribadi. Sungguh beruntung sahabat handai yang mengenali beliau dan sejuk perut ibu mengandung dapat anak soleh seperti beliau.

Banyak coretan dan nukilan beliau yang sangat terkesan dihati aku. Antaranya Syair Imam Syafie yang dikongsikan oleh beliau.

Ihsan GPTD

Dan pertama kali hati aku meronta - ronta untuk merantau ke negara orang. Insyaallah akan tercapai suatu hari nanti.

Sahabat beliau menggelar kematian beliau sebagai Syahid Yang Tertangguh. Hasrat beliau untuk syahid ketika berada di bumi Syria menyebabkan beliau digelar begitu.

Sungguh ajal maut di tangan Allah S.W.T. , tanpa diduga cara kematian beliau adalah akibat kemalangan di bumi Turki. Takdir Allah siapa yang menjangka.

Sifat terpuji dan aktiviti kemasyarakatan yang beliau sertai menyebabkan beliau mendapat kemuliaan sehingga dikebumikan di Perkuburan Eyub Sultan. Tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. 


Bila aku lihat peribadi beliau, terasa diri ini kerdil. Banyak bakti dan jasa beliau yang dicurahkan. Terasa diri ini bukan siapa - siapa jika dibandingkan dengan beliau. Terasa diri terlalu leka dan alpa dengan nikmat dunia.

Semoga jiwa Ahmad Ammar terus subur di dalam jiwa setiap umat Islam. Semoga semangat dan perjuangan beliau menjadi pedoman.

Semoga damai kamu disana.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ 



Link berita tentang Şehidimiz Ahmad Ammar:






Apa Yang Dah Dicapai?

Assalamualaikum,

Dah berbulan tak mengemaskini blog. Aktiviti menulis di blog dah kurang diamalkan. Mungkin dah tak ada cerita menarik yang nak dikongsi. Tapi, tipulah kalau tak ada cerita apa - apa kan?.

Cuma sekarang aku dah berkereta sejak 25/10/2013 lagi . Kereta ni memang keperluan. Susah kalau ada hal kecemasan. Nak harapkan motorsikal, memang tak lepaslah nak balik kampung. Sekarang kena berjimat cermat bila pakai kereta. Tak boleh nak berbelanja mewah sangat.

Cerita lain, azam aku kebanyakkannya dah tercapai. Tapi azam nak saiz macam dulu susahlah nak tercapai. Hati senanglah kata kan...;p
Orang lain senang je nak kurus, aku ni susah. Kena betul - betul diet. Nak harapkan ubat, minta maaf. Mungkin pilihan terakhir nak makan pil - pil ni semua.

Azam aku yang paling terkilan kalau tak tercapai, nak join sukarelawan. Aku pernah nak isi borang Islamic Relief. Tapi aku tak ada kepakaran khusus. Duit pun kurang. Yang ada cuma tenaga yang nak disumbangkan. Aku teringin sangat nak join aktiviti sukarelawan. Kalau ada sumber,  maklumat atau orang perseorangan yang boleh dihubungi, dialu - alukan. Yang penting sumber yang dipercayai.

Oklah, itu hanya beberapa cerita yang aku nak kongsi setakat hari ini. Insyaallah kalau ada masa update lagi blog ni. Untuk tatapan diri sendiri juga...


09 July 2013

Bonus Khas Ramadan

Esok bermulalah kewajipan Rukun Islam ketiga, yakni berpuasa di bulan Ramadan. Seperti biasa, akan dikongsikan antara info - info menarik berkenaan bulan Ramadan sepanjang bulan ini. Insyaallah.


Antara yang menarik ingin dikongsikan adalah Bonus Khas Ramadan.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
" Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan pada umat-umat terdahulu ketika Ramadan iaitu:

Bonus 1: Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kesturi di sisi Allah s.w.t

Bonus 2: Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga berbuka.

Bonus 3:  Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: "Hampir-hampir hamba-
               hamba-Ku yang soleh dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali
               kepadamu."(Mereka sanggup bersusah-payah di dunia demi kebahagiaan hidup di
               dunia dan akhirat.

Bonus 4: Syaitan-syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan lain Ramadan.

Bonus 5: Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan
              disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya.
              Mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda s.a.w:
              "Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar?"
              Baginda menjawab: "Bukan, tetapi pelaku-pelaku kebaikan akan disempurnakan
              pahalanya seusai menyelesaikan amalnya."                                   
                                                                                                                     
                                                                                                             (Riwayat Ahmad)

link - Niat lafaz puasa Ramadan

02 May 2013

Tangga Tak Berpenghujung - Escherian Stairs

Assalamualaikum

Semalam hari pekerja. Jadi aku menghabiskan masa dengan komputer. Melayari internet dan sebagainya.

Gambar lakaran Escherian Stairs

Dan aku terpaku pada satu artikel berkenaan Escherian Stairs. Apa itu Escherian Stairs?

Menurut artikel yang aku baca, tangga ini direka oleh seorang arkitek Michael Lacanilao dan Myungsuk Kim untuk The Stairwell Project: Building a Modern Myth. Dan kata Micheal Lacanilao, beliau takkan memberitahu bagaimana tangga ini dibina sampai suatu masa.

Tangga ini terletak di Artistic Alley, Gannet Hall bilik A171 bertempat di Rochester Institute of Technology. Tangga ini direka berdasarkan rekaan oleh pereka grafik dari Belanda, M.C Escher. Rekaannya banyak yang tidak logik diakal. Antaranya relatitivity seperti di dalam gambar. 


Relativity  - M.C Escher

Bagi Escherian Stairs pula, tangga ini akan mencipta ilusi seolah - olah kita hanya berlegar - legar di tingkat yang sama. Tiada atas dan bawah. Tidak dapat dipastikan samada ini olahan kamera atau silap mata.



Bagi aku, yang tengok berkali - kali videonya, masih tak faham. Harap ada penjelasan dari orang yang arif lagi bijak pandai.



01 May 2013

Ukhuwah


Gambar oleh Faiq Naquiddin
Dari segi bahasa, ukhuwah berasal dari perkataan akhun yang membawa erti saudara,teman,sahabat dan lain-lain lagi.

Dari segi istilah :

Menurut Al-Quran : Perasaan kasih sayang, tolong - menolong, bantu - membantu, bertolak ansur, bermesra dan cinta - mencintai di antara sesama umat Islam tanpa berkecuali.

Allah berfirman:
"Sesungguhnya orang - orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat"

(surah al-Hujurat: ayat 10)


Menurut hadis : Seperti tubuh badan ,darah daging, dan roh umat Islam sendiri Rasulullah s.a.w bersabda: 

Daripada Nu’man bin Bashir r.a : Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan uang satu , apabilah satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”

Bila berbicara berkenaan ukhuwah, ramai yang yang memandang hanya dari segi pergaulan sehari - hari. Padahal, ukhuwah membawa makna yang lebih dari itu. Sama seperti beberapa peringkat dalam ukhuwah:

1. Ta'aruf : Saling Mengenal


2. Tafahum : Saling Memahami

3. Ta'awun : Saling Menolong

4. Takaful : Saling Menanggung

5. Itsar : Mendahulukan orang lain daripada diri sendiri

Melalui beberapa peringkat inilah, perasaan hormat - menghormati, berkasih sayang dan bertolak-ansur wujud. Bagi aku, ukhuwah dalam erti kata yang sebenar belum dapat difahami. Bukan sekadar ucapan di mulut, dan bertemu ketika di kelas atau dipejabat. Tak dapat diucapkan dalam satu baris ayat. 

Ukhuwah tak terlepas dari ujian. Terasa hati, tak puas hati, bersedih hati, makan hati, dan sakit hati perkara yang selalu menjadi duri dalam sesuatu ukhuwah. 

Kadang - kadang tak bertegur sapa, mungkin ada kekhilafan kita tanpa kita sedari. Kita menjaga perasaan orang lain, orang lain takkan menjaga perasaan kita. 
Sabar dan tawakkallah jadi peneman. Yakin setiap ujian ada hikmah dariNya.

Apapun aku terkesan pada video dibawah tentang ukhuwah sesama sahabat ketika di perantauan. Rela berkorban dan mengambil berat akan perihal rakan - rakan.




Salam Ukhuwah dari aku.