31 July 2011

Ramadhan Kembali

Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Ilahi. Bertemu kembali dengan Ramadhan yang mulia. Diharap Ramadhan kali ini, penuh keberkatan dan amalan yang diterima.

Panjang umur kita berkat rahmat Allah S.W.T. Dan berjumpa kita dengan Ramadhan kali ini unutk mengutip setiap pahala dan keberkatan yang ada di dalam bulan Ramadhan.

Perbanyakkan amalan dan beribadat dengan penuh ketaqwaan. Peringatan bukan hanya untuk sahabat - sahabat sekalian. Juga peringatan untuk diri sendiri.

Walau ada kekurangan sepanjang berpuasa. Harap puasa kita diterima hendaknya. Kita hanya manusia. Walau syaitan dan iblis diikat sepanjang bulan Ramadhan. Harus diingat, NAFSU adalah penghalang kepada kita untuk berpuasa dengan sempurna. Kekang nafsu dengan ingatkan diri kita "AKU SEDANG BERPUASA".

Jangan jadikan nafsu sebagai alasan kita tidak berpuasa. Dan jangan jadikan kita berpuasa untuk mengurangkan produktiviti di dalam kerja dan pelajaran kita. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W berserta para sahabat berperang di bulan Ramadhan, inikan pula kita.

Semoga Ramadhan kali ini penuh barakah buat kita semua.


Niat Puasa Ramadhan

Lafaz niat puasa harian fardhu Ramadhan:


نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ

 هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى


Nawaitu sauma ghadin an ada-i fardi syahri ramadhana hazihis sanati lillahi taala.  

Maksudnya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”. 



Mengikut mazhab Imam Shafie, niat hendaklah dilakukan pada setiap malam. Para ulama berpendapat kita boleh bertaklid mengikut mazhab Imam Maliki yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan Ramadhan. Iaitu berniat untuk sebulan Ramadhan dengan tujuan jika terlupa niat mana-mana malam di bulan Ramadhan, niat mengikut Imam Maliki itu boleh dipakai. Niat Imam Maliki hendaklah dilakukan pada malam pertama puasa. Namun niat setiap malam hendaklah dilakukan.




Lafaz niat puasa sebulan Ramadhan:


نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى 


"Nawaitu sauma shahri ramadhana hazihis sanati kullihi lillahi taala"

Maksudnya: "Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala."


p/s: repost daripada note Facebook. 19/08/09



27 July 2011

Bila Sudah Ketagih Facebook

Benda pertama akan dibuat bila melayari internet, sudah semestinya akan log in Facebook (FB). Itu wajib. Walau tak ada apa pun dalam FB tu, hanya nak baca status kawan - kawan. Dan sekali sekala main game.

Kadang - kadang sampai satu tahap rasa bosan dengan FB. Tapi tangan laju je, klik masuk FB. Dan bila tak log in FB semasa melayari internet umpama kopi tanpa gula. Dahsyat penangan FB ni.


Bila baca berita firma Intersperience  di New York buat kajian mengenai ketagihan FB, statistik agak mengejutkan. Walaupun kajian hanya di barat, tapi tak mustahil sama jugak dengan Malaysia.

Menurut kajian , 53 peratus daripada 1,000 orang yang terbabit dalam kajian melaporkan yang mereka merasa marah apabila tidak menggunakan internet.

Kajian itu juga mengatakan, 40 peratus responden merasa sunyi jika tidak menggunakan kemudahan online.

Sementara itu, dalam satu lagi kajian di Britain, satu pertiga ibu bapa di negara itu beranggapan internet mengancam anak mereka dan 80 peratus kanak-kanak ketagih laman web sosial seperti Facebook dan Twitter.


Bila dah sampai kanak - kanak ketagih FB dan yang sewaktu dengannya. Mesti buat sesuatu. Bayangkan bila budak - budak mengamuk disebabkan tak dapat log in FB. Tu dah parah. Pemantauan ibu bapa paling penting.

Jangan sampai kita dapat generasi yang tak produktif disebabkan internet dan laman sosial. Facebook boleh melalaikan jika digunakan secara keterlaluan.

"Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu' mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya." [al-Mu'minun 23: 1-3]

Baca sini.
FACEBOOK: KITA MENGUASAI ATAU DIKUASAI.



25 July 2011

PotLuck Sebelum Ramadhan

Lama tak update. Jadi kita update dengan entri makan - makan. Makan lagi ye. Sebenarnya opis aku buat makan - makan lagi. Kali ni secara potluck, atau dengan kata lain, lauk - pauk dimasak dan dimakan beramai - ramai bersama - sama.

Antara makanan yang ada.

Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba, opis aku memang akan setiap tahun buat jamuan potluck ni. Aku?. Macam biasa hanya bawa pinggan mangkuk dan perut yang meminta diisi.

Bukan aku tak nak masak, cuma huruf M pada malas tu terlalu besar. Hehehe. Alasan je tu. Kalau aku masak pun, goreng ikan masin je kot. Yang rumit - rumit, memang aku tak berapa reti.

Tengah sediakan Pecal.

Jadi makan ajelah bekal orang lain. Nanti sapa nak habiskan lauk - lauk tu semua. Kan?

Insyaallah, tahun depan kalau ada rezeki mungkin akan aku masak jugak. Dah banyak permintaan sebenarnya. Tambahan bila ada permintaan nak makan ketupa sotong. Jadi, mungkinlah taun depan. Tak berani nak janji.

Sedia nak makan

Apa - apa hal pun, memang kenyang perut makan. Terutama Ikan Patin Masak Tempoyak dan Gulai Ikan Masin. Tak lupa jugak dengan cendawan sup. Sedap.

Tinggal bekas je.

Puaslah makan sebelum nak puasa ni. Bulan puasa ni kena puasa betul - betul. Bukan bulan untuk berpesta makanan. Biasalah kan bulan puasalah paling banyak jenis makanan yang pada bulan - bulan lain takkan jumpa.







20 July 2011

Tempah Kuih Raya

Dalam 2 minggu lagi nak sambut Ramadhan, dah ada borang - borang tempahan untuk menempah kuih raya. Selalunya setiap tahun memang adalah aktiviti menambah duit belanja raya di pejabat ni.


Kuih raya ataupun lebih dikenali sebagai "kuih tunjuk" ni, memang wajiblah ditempah untuk raya ni. Almaklumlah, nak buat tak pandai. Jadi aku sebagai anak sulung yang dah kerja, kenalah bawak buah tangan balik kampung. Takkan nak suruh mak aku buat kuih lagi. Lainlah kalau ada orang rumah. Hehehe

Selalunya aku akan tempah kuih Tat Nanas. My favourite nih. Wajib ada masa raya. Kuih yang lain - lain, aku tempah ikut sedap anak tekak aku la. Kalau taknak makan, aku makan.


Lazimnya, aku tempah kat akak - akak kat pejabat ni. Tiap - tiap tahunlah. Kena tempah awal kuih raya ni. Kalau tak terpaksa beli yang jual kat bazar - bazar. Takut dapat kuih yang rasa sama, walaupun rupa kuih tu lain - lain. Dah terkena dah.

Kalau nak tempah kuih tu, kena ikut bajet raya. Beli sikit - sikit, jangan membazir. Selalunya, nak sambut rayalah duit mengalir macam air terjun. Laju je.

Memang kena buat senarai barang raya. Mana tau, over bajet. Lepas raya, menganga makan serdak kuih. Tak ke haru. Harap ada open house je la.

Bahagian kuih raya setel. Tinggal cari baju raya untuk keluarga kat kampung pulak.

Raya - raya jugak, amalan bulan Ramadhan jangan dilupa.


p/s: Jangan dilupa tiket balik kampung. Naya je kena raya kat KL.

12 July 2011

Amalan Pemakanan Menurut Islam

Kali ni aku nak berkongsi amalan - amalan pemakanan yang dianjurkan oleh Islam. Amalan ni selalunya diamalkan oleh para hafiz dan ulama.


Antara amalan pemakanan menurut Islam adalah :-

  1. Makan secara berjemaah untuk mendatangkan berkat.
  2. Mulakan makan makanan yang berada di tepi pinggan atau hidangan dahulu dan berakhir di bahagian tengah hidangan. Kerana Rahmat Allah berada di tengah - tengah hidangan.
  3. Makan hingga habis ke butir yang terakhir, kerana setiap butir makanan ada keberkatan.
  4. Jangan makan makanan yang terlalu panas atau baru dimasak.
  5. Kurangkan makan makanan yang bersifat sejuk seperti labu, bayam, timun dan buah - buahan seperti betik dan jenis tembikai.
  6. Jangan makan makanan yang hampir atau telah basi.
  7. Elakkan memakan kepala ikan.

Kebanyakkan amalan ini diamalkan untuk kecerdasan minda dan otak. Jadi kepada pelajar elok diamalkan selalu. Insyaallah, mudah dalam menerima pelajaran.


11 July 2011

Layan Lagu Raya

Malam - malam macam ni, saja hilangkan boring layan internet. Sambil - sambil minum kopi sambil dengar lagu. Lagu raya lah pulak. Rasa pelik je dengar lagu raya di luar musim puasa dan raya.

Kalau kat pejabat, semua dah pakat - pakat nak pasang lagu raya pada hari pertama puasa. Kebetulan puasa tahun ni jatuh pada hari Isnin, 1 Ogos. Insyaallah. Jadi aku boleh bayangkan macam mana keadaan pejabat masa tu.


Kalau kat rumah ni, dengar sorang - sorang. Tak jadi hal. Pasang kuat - kuat pun tak de sapa nak marah. Mungkin housemate aku je marah kot. Hehehe.

Bila dengar - dengar balik koleksi lagu raya ni, aku suka rentak lagu raya lama -lama. Rasa syahdu semacam. Kiranya kemeriahan hari raya memang terasa. Walaupun, dicipta lagu raya baru atau dinyanyikan semula lagu raya lama. Aku rasa tak sama. Mesti suka yang original jugak.

Tambahan pulak, aku ni perantau. Dengar lagu "Dendang Perantau", memang meronta - ronta nak balik kampung.  Harap cuti tak banyak je. Kalau tak sebulan puasa, memang cuti je.

Lagu raya memang jadi kegemaran untuk di pasang di pusat beli - belah. Sambil shopping, sambil dengar lagu raya. Layan je. Tak lah boring sangat shopping. Kalau orang bertandang masa hari raya, memang pasang lagu raya. Saja nak memeriahkan suasana.

Kalau lagu raya yang baru, tak menusuk ke jiwa sangat. Boleh dibilang lagu yang sedap didengar. Tak semua boleh diterima. Harap tahun ni adalah lagu baru yang sedap didengar. Balik - balik nyanyi semula lagu lama. Bosan.


p/s: Tiket balik kampung dah boleh beli kot.

Pagi Yang Cerah

Datang awal ke pejabat hari ni. Masih tak ramai orang kat pejabat. Hanya muka - muka yang selalu datang awal je ada. Ramai lagi yang cuti sebab terpaksa bekerja hari sabtu.

Aku tak lah kerja hari sabtu, sebab ada alasan. Sesiapa yang kerja hari sabtu, dapatlah cuti sehari. Bukan dapat claim overtime, dapat cuti je, almaklumlah kerja dengan kerajaan. Dah dibagi cuti, ambik je lah.


Bercakap pasal datang awal ni, zaman - zaman aku mula - mula kerja dulu, lagi awal aku datang. Pernah lah bukakan pintu sebab datang awal sangat. Sebelum pukul 7 lagi aku dah sampai. Rajin aku masa tu.

Sekarang, datang macam biasa je. Tak awal, tak lambat. Kiranya sebelum pukul 8 dah sampai. Bila datang awal ni, boleh rileks dulu, baca berita, update blog dan sebagainya. Yang paling best, tengok orang baru sampai. Dapatlah tengok muka - muka yang datang awal dan yang datang lambat. Yang datang lambat tak payah ceritalah, hak masing - masing.

Datang awal ni best, rasa macam lama je boleh online. Hehe. Ye lah, datang kerja buka emel dulu, FB dulu, tengok apa yang patut. Lepas tu baru tengok kerja apa yang patut. Boleh juga, sarapan lama - lama...;p


Kat pejabat aku ni, adalah tempat buat air. Lepak kat situ sambil update berita terkini. Kalau hari ni, mesti cerita pasal "BERSIH". Dah tahu dah rutin harian. Masa mula - mula kerja, baik lagi. Datang pejabat terus buat kerja. Tak bercampur dengan orang. Sekarang je, masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang harimau, mengaum. Biasalah kan. Semua tempat lebih kurang je. Swasta je aku tak berapa tahu.


p/s: Sambung kerja balik...;p

08 July 2011

Tanpa Tajuk

Baru lepas balik sembahyang Jumaat kat masjid negara. Dan pejabat aku berdekatan dengan Dataran Merdeka. Jadi nampaklah, deretan kereta dan trak polis yang tutup jalan kat dataran tu.

Terfikir jugak aku. Kenapa dah tutup dah jalan?. Bukan esok ke perhimpunan, bukan hari ni?. Sah - sah lah jalan sesak balik kerja nanti ni. Hari jalan tak tutup pun dah sesak, jalan tutup lagilah.


Siapa yang sebenarnya yang menyusahkan rakyat ni.??
Malas aku nak komen pasal benda - benda ni. Yang aku tahu jangan kacau periuk nasi dan life aku dah lah.

Ini cuma luahan aku sebagai rakyat yang nak hidup selesa je. Walaupun hakikatnya tak seselesa mana. Gaji pun cukup - cukup makan je. Dengan harga barang yang tak sepadan dengan gaji. Aku tak boleh kata apa. Cuma bersyukur aku ada kerja dan duit untuk dibelanjakan. Walaupun orang yang berkenaan lagi selesa dan seronok berbelanja dengan duit orang bawahannya. Faham - faham sendirilah.

Yang penting esok aku nak habiskan masa dengan tengok wayang.


p/s: Ini bukan blog politik. Ini blog rakyat marhaen je...;p

05 July 2011

Dalam Perjalanan

Datang kerja dengan naik motosikal, buat aku nebes dan libang libu dalam dada. Ye lah sebelum ni, rajin naik LRT kalau pergi kerja. Sekarang ni, cuba - cubalah nak naik kenderaan sendiri. Nak jimatkan perbelanjaan kan.


Bayangkan LRT dari rumah aku dah RM2.30, pergi balik RM4.60/sehari. Lima hari dah RM23. Lebih kurang sama dengan naik kereta.

Kalau naik moto, RM5 cukup untuk 2,3 hari. Jadi lebih menjimatkan. Naik jelah moto. Cuma risiko naik moto, tinggilah. Kena tawakkal kalau nak buat apa - apapun.

Bila naik moto ni, pandangan lebih luas. Maksud aku, tahap kewaspadaan menjadi tinggi. Silap - silap, boleh buat ramalan apa akan jadi.

Tapi betullah apa orang cakap. Jalanraya kat Malaysia ni, memang kena hati - hati. Terutama kat bandar - bandar besar. Kita tak langgar orang, orang langgar kita.


Kalau kat highway lagi lah, semua nak pecut. Apa yang dikejar pun, tak tahulah.

Apa -apapun, nak buat semua benda, memang kena beringat selalu. Tak kiralah, kat jalanraya atau kat mana pun..;p

p/s: Aku dah ambil insurans, untuk masa depan....;p

01 July 2011

Sekali Lagi!!!

"Bukan review filem Sekali Lagi"

Alhamdulilah, hidup sehari lagi di muka bumi ini untuk menikmati limpah rahmat dan kurnia dari Allah s.w.t. Seperti semua sedia maklum, bulan Ramadhan tahun ini jatuh pada 1hb Ogos. 


Tak sabar sebenarnya nak menempuh bulan Ramadhan. Insyaallah tahun ini, aku berazam menjalani ibadah puasa dengan sabar dan penuh keimanan.

Yang aku tak berapa gemar, dalam media, tak kira media cetak atau elektronik. Tak ada pun iklan atau apa - apapun untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan. 

Kalau hari raya, dah ada dah iklan untuk menyambut raya. Padahal, bulan Ramadhan yang sepatutnya diraikan. Dah jadi kelaziman di Malaysia. 

Tapi mengikut kata kawan aku, di negara Arab sangat berlainan. Bulan Ramadhan disambut dengan meriah dan pemergian bulan Ramadhan ditangisi. Semua berebut mencari pahala. Sangat lain dengan Malaysia. Aku berharap dapat menikmati suasana berpuasa di Tanah Suci. Insyaallah satu hari nanti, jika diizinkan-Nya.

Walau bagaimanapun, aku berharap Ramadhan kali ni dapat dijalani dengan sempurna. 
Bulan Ramadhan, bulan Rahmat. Bulan penuh keberkatan. 

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.