28 June 2011

Trip Selatan - Part 2

Bersambung dari Trip Selatan - Part 1.


Rumah lama di Melaka. Tak pasti rumah apa.
Kami sampai di Bandar Melaka tatkala hari sudah petang, lebih kurang dalam pukul 4 petang. Kami mengisi perut terlebih dahulu. Hajatnya nak merasai Asam Pedas Melaka. Tapi kami tak tahu kat mana nak cari restoran yang menyediakan Asam Pedas Melaka yang asli. Keputusannya kami hanya mengisi perut di food court saja.


Tiket parking. Nak pergi sekejap je, tapi
kena beli sampai 10 keping bersamaan RM6 
Seusai makan, kami mencari tempat untuk bermalam sebelum meneruskan aktiviti di Bandar Melaka. Kami mencari hotel murah yang berdekatan dengan Dataran Pahlawan. Kami bercadang bermalam di Hotel Syahbandar.


Hotel ini berpatutan. Melalui laman webnya, hotel ini kelihatan selesa. Tapi hakikatnya, jauh panggang dari api. Yang paling tak tahan, ada bau yang kurang menyenangkan. Beg dan baju yang belum dipakai melekat dengan bau tersebut. Percayalah, beg terpaksa dibasuh untuk menghilangkan bau hotel Syahbandar. Hampir seminggu juga bau hotel, nak hilang. Tak tahan. Semput...


Cukup pasal hotel. Nasib baik semalam je. Jadi kami meneruskan aktiviti kami di malam hari selepas maghrib. Tempat kami tuju, Kota A Famosa. Landmark Kota Melaka. Datang Melaka tak singgah sini memang tak sah.

Dataran Pahlawan

Kota A Famosa
Selepas kami pun bergambarlah di sekitar Kota A Famosa tu. nak masuk ke dalam muzium, dah waktu malam. Jadi bergambar depan muzium pun jadilah.


Kapal Terbang di depan Muzium

Kepala keretapi

Tapak eskavasi.
Selepas tu barulah kami melepak di tepi sungai Melaka. Tengok bot - bot yang lalu lalang. Sambil - sambil tu bergambar jugak.


Bila kami lalu di depan Muzium Samudera, kebetulan mungkin, muzium tu masih di buka. Kami ambil peluang untuk melawat muzium di waktu malam. Walaupun aku dah banyak kali pergi ke Melaka ni. Tapi tak pernah lagi aku melawat muzium di waktu malam. Agak seram jugaklah, bila tengok patung - patung di dalam muzium. Tapi itu sebahagian dari pengalaman yang tak dapat dilupakan.


Tepi sungai Melaka

Kincir air di tepi sungai Melaka.

Muzium Samudera.

Di dalam muzium
Dah habis tengok muzium, kami mengisi perut di A&W. Nak cari asam pedas pun, dah malam. Takpelah mungkin lain kali. Selepas tu baru kami balik ke hotel untuk berehat.


Menu di A&W
Esoknya, kami sambung perjalanan ke negeri Johor pula.


Destinasi seterusnya

Minta Perhatian

Agak lama tak pos entri baru. Tak berkesempatan nak karang entri baru. Lagipun idea takde. Hati meronta - ronta nak update blog. Tapi bila mengadap komputer, otak jadi kosong dan tepu.

Tiba - tiba saja, tak boleh nak fokus pada cerita yang ingin disampaikan. Kalau ikutkan, bukannya takde cerita. Ada je cerita. Tapi rasa macam tulisan akan jadi merepek.

Sesiapa yang sudi singgah, terima kasih diucapkan. Walaupun blog ni, jarang - jarang sangat nak update. Tak mampu nak ikut blogger - blogger old timer, pos entri 9 - 10 entri satu hari.

Mungkin kekangan masa dan kemalasan melanda meyebabkan tiada tulisan yang baru. Nak pos cerita yang lama - lama, takut dah basi. Ye lah, dah lama.

Kalau ikutkan ada je cerita dalam komputer ni. Zaman - zaman muda rumaja punya cerita. Almaklumlah dah bertambah usia. Bukan tua ye.

Jadi minta maaf sekali lagi. Kepada yang sudi singgah di blog picisan ni...Terima Kasih ;p

26 June 2011

Shopping Time II

Selepas entri sebelum ni pasal orang perempuan berbelanja. Kali ni tiba giliran aku pula nak berbelanja. Aku nak cari kasut baru. Sebab kasut aku tapak dah haus. Bahaya, boleh tergolek kalau lalu tempat licin. Sebelum tu kena buat senarai barang yang akan dibeli.


Selalunya aku memang akan buat senarai barang kalau nak shopping. Kadang - kadang je aku tak amalkan bila aku shopping secara mengejut.

Buat senarai sebelum membeli ni selalunyalah diamalkan oleh   ibu - ibu. Dan cara ni juga disyorkan oleh pakar belanjawan.

Bagi aku dengan cara ni, kita takkan membazir. Dengan syarat, kena berdisiplin. Kalau ada benda yang nak dibeli tapi tiada dalam senarai. Takpa, boleh tulis dalam senarai untuk shopping lain kali.

Tapi aku percaya, ramai juga yang terbabas. Rambang mata. Takut kalau beli hari lain, barang tu dah tak ada. Menyesal tak beli awal - awal.

Boleh kalau nak beli pun. Tapi pastikan tidak membazir. Orang perempuan kalau tengok kasut, mahu di borong satu kedai. Berjenama dan murah pulak tu. Padahal, kat rumah penuh almari dengan kasut. Ada yang belum dipakai pun. Nafsu - nafsu.

Banyak lagi cara yang yang boleh diamalkan ketika shopping. Antaranya:-

  • Pergi shopping sekurang - kurangnya dua orang. Boleh tanya pendapat. Sebab takut apa yang kita beli, tidak sesuai dengan kita. Terutamanya ketika beli pakaian. Kalau pergi seorang, minta bantuan jurujual.
  • Beli barang ketika ada jualan atau sales. Percayalah, barang ketika ini agak murah. Walaupun ada sesetengah barang sama je harga sebelum dan semasa sales.
  • Shopping ketika waktu tak ramai orang. Ini mungkin susah nak diamalkan, sebab selalunya waktu sales adalah waktu paling ramai orang. Bukan apa, takut barang yang kita nak tak jumpa. Kalau waktu orang tak ramai senang je jumpa.
  • Pergi ke banyak kedai untuk dapatkan harga termurah untuk barang yang sama. Ini penting supaya tak menyesal kemudian hari.
Untuk tahu lebih lanjut rujuk sini.

Setakat ni aku dah amalkan cara ni. Alhamdulilah, duit yang dibelanjakan pun masih berbaki. Yang penting kena kuatkan iman dan disiplinkan diri je. Senangkan?....;p

24 June 2011

Shopping Time

SALES + BARU GAJI = SHOPPING TIME
Formula baru untuk menghabiskan duit.
Hari ni hari Jumaat. Jadi rakan - rakan pejabat terutamanya WANITA, akan menggunakan formula ni bila lunch hour.

Dan sekarang diorang baru balik dari shopping. Tak cukup jari nak jinjing barang kat tangan. Penuh tangan. Itu tak termasuk hujung minggu lagi, bila semua keluar pergi membeli - belah.

Aku pun berhajat nak beli barang serba sedikit. Tapi kalau ikut nafsu, seribu ringgit tu selamba je keluar dari dompet. Kena buat shopping list la. Baru boleh kontrol sikit nafsu nak membeli.


Ada hari tu, aku ikut kawan perempuan aku pergi shopping. Aku tergamam sekejap. Dia selamba je ambil barang dengan tak tengok harga. Rasa nak beli, dia beli je.

Aku tanya dia, "Biar betul ko nih?". Dia jawab, "Rilek ah, ni baru aktiviti memanaskan badan je." Hah, Biar betul???


Kalau macam ni cara dia shopping. Taubat aku nak ikut. Dah la memenatkan. Kalau aku takpe la. Hehehe.

Apa - apapun, shopping adalah salah satu terapi. Setuju tak?. Tapi kena berpada - pada. Jangan sampai jadi shoppaholic sudahlah...;p

Bangun Pagi....Sakit Belakang Dan Leher

Kali ni nak cerita perubatan sikit. Bukan apa, aku rasa macam sakit leher dan sakit belakang pulak hari ni. Orang cakap sakit belakang dan leher ni sebab salah tidur. Jadi aku cuba selidik punca - punca sakit leher dan sakit belakang ni.


Ini antara punca - punca yang diketahui. >>
  • Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu. 
  • Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja. 
  • Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat. 
  • Berdiri terlalu lama. 
  • Penggunaan bantal yang tidak sesuai.
  • Membawa barang yang beratnya tidak seimbang. 
  • Duduk membongkok di kerusi.
  • Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin. 
  • Memakai kasut bertumit tinggi.

Antara banyak - banyak tu, aku rasa penggunaan bantal, duduk atas kerusi punca paling relevan dengan keadaan aku ni.

Jadi antara rawatan sesuai yang disyorkan yang boleh diamalkan di rumah. >>
  • Tuam dengan ais atau benda sejuk di bahagian yang sakit untuk selama 15 minit. Jika ini tidak mendatangkan kesan, balut botol air panas dengan tuala dan tuamkan ke bahagian yang sakit. Jangan menggunakan haba pada hari pertama anda terseliuh atau tegang otot. 
  • Berehat di atas tilam yang padat dan agak keras yang diletak di atas lantai untuk selama 24 jam. Baring mendatar dengan mengampu lutut di atas bantal. 
  • Jangan mengangkat barang yang berat dan elak daripada duduk, membongkok dan memandu terlalu lama. 
  • Dapatkan nasihat daripada mereka yang terlatih dalam bidang penjagaan belakang mengenai senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah ini. 
  • Dapatkan khidmat jurupulih anggota dan ahli kiropraktor untuk membantu anda mencegah kecederaan daripada berulang.

Jadi boleh aku amalkan apa yang sesuai untuk mengurangkan sakit aku ni. Selepas ni aku kena elakkan perkara yang boleh menyebabkan sakit leher atau belakang ni.

Petua elak sakit belakang dan leher. >>
  • Tidur di atas tilam spring; letakkan papan di atas dasar tilam. 
  • Elakkan diri daripada ketegangan yang boleh menyebabkan sakit belakang. 
  • Kekalkan kedudukan susuk badan (posture) yang baik ketika duduk dan berdiri. 
  • Apabila mengangkat barang, tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja. 
  • Pelajari senaman yang boleh membaiki pergerakan dan kedudukan susuk badan anda. 
  • Jika memandu, anda perlu berhenti dan berehat seketika atau keluar dari kereta setiap 90 minit. 
  • Bagi wanita, pakai kasut bertumit rendah. 
  • Luangkan sedikit masa untuk berehat dan elakkan daripada terlalu banyak membuat kerja yang membebankan untuk jangka waktu yang lama. 
  • Pegang objek yang berat rapat ke badan anda. 
  • Apabila duduk di kerusi, pilihlah tempat duduk yang dapat mengampu seluruh paha anda dan biarkan kaki anda lurus ke bawah dan memijak lantai atau bangku kecil dengan selesa.


p/s: bestnya kalau dapat diurut, dapat kerusi urut Ogawa atau Osim pun dah best...;p

Aktiviti Makan - Makan Dan Makan Lagi

Jabatan kerajaan dan jamuan makan - makan tak dapat dipisahkan. Ini betul - betul berlaku. Kebanyakkan jabatan kerajaanlah. Sesiapa yang kerja dalam sektor awam mesti tahu. Sebab apa aku cakap macam tu. Ni yang nak cerita ni.

Aku ingat dulu masa tahun pertama aku kerja di jabatan aku ni. Tiga bulan pertama, aktiviti makan - makan dah berlangsung hampir sepuluh kali. Itu sepanjang ingatan aku.


Dan berat badan aku yang ideal dulu, dah jadi tak ideal. Meningkat sebanyak 12 kg dalam masa tak sampai 4 tahun. Bayangkanlah.

Salah aku juga, makan tak ingat dunia. Tapi aku nak salahkan jamuan makan - makan jugak. Asyik jamuan je. Sebab tu aku membesar dengan riang. Makan free kan, sapa tak nak?


Jadi bermula bulan depan aku nak kurangkan berat badan. Bulan depanlah sebab ada aktiviti makan - makan lagi, seminggu dua ni. Mana boleh tak pergi.

Kerja kat tempat lain mana ada macam ni. Kat sini je boleh dapat. Orang bujang macam aku ni, mesti bersyukur sangat sebab boleh jimat. Dah boleh simpan untuk kahwin.


Menu - menu yang ada pun memang menyelerakan. Kadang - kadang je tak berapa nak menyelerakan. Kalau ada siapa - siapa yang teringin nak tambah berat badan bolehlah kerja dengan sektor awam. Mana - mana pun sama je...

Gambar - gambar jamuan ini adalah pada waktu - waktu yang berlainan.







p/s: Ini berdasarkan pengalaman aku je. Kalau jabatan lain, aku tak pasti. Tapi kawan aku cakap sama je....;p

22 June 2011

Wordless Wednesday #1



A Picture Is Worth A Thousand Words

Setiap hari Rabu setiap minggu, blogger akan pos satu entri tanpa kata - kata, penerangan atau apa - apa pun, hanya gambar sahaja. Terpulang pada tafsiran masing - masing....Dan ini percubaan pertama aku.....;p

Rujukan lanjut : Wordless Wednesday FB
                       

21 June 2011

Pancing Udang Di Tepian Rimba

Lama tak update. Maklumlah sibuk di hujung minggu. Sebenarnya, aku dan kengkawan menghabiskan masa hujung minggu dengan memancing udang. Kami bercadang untuk memancing di kawasan Hulu Langat.


Tempat yang sebenarnya aku kurang pasti. Tapi yang aku pasti tempat memancing tu berdekatan dengan Sek.Keb. Sungai Serai. Nama tempat tu Kolam Rekreasi Memancing Tepian Rimba.

Tempatnya agak ke dalam sikit. Lebih kurang 800 meter. Yuran untuk memancing RM50 seorang, tapi yuran ni sebagai deposit. Kalau memancing selama 2 jam, hanya RM26 sahaja. Jadi jika kita pulangkan tag, kita akan dapat kembali baki duit kita RM24. Kira berbaloi juga untuk 2 jam RM26.

Kalau tiada joran, boleh sewa joran di situ. RM3 untuk sebatang joran. Aku sewa je, sebab baru pertama kali memancing kat situ. Jadi kenalah sewa.




Kami memilih kolam yang ke belakang sikit sebagai port memancing. Dan aku orang pertama yang dapat memancing udang di kalangan kengkawan aku tu.

Selepas sejam berada di kolam tu, hanya beberapa ekor je yang dapat. Jadi kami pun berpindah ke kolam yang lain. Kali ni, baru nasib menyebelahi kami. Dari 2 jam, kami lajak ke 3 jam. Tapi berbaloi sebab berjaya memancing udang hampir 40 ekor.

Udang Galah kot...;p

Seronok juga memancing, sampai tak ingat makan, minum.

Lepas memancing, balik rumah rehat semua, baru udang - udang tu dimasak dan dapatlah makan ramai - ramai untuk makan malam. Kami buat udang celup tepung dan udang masak pedas. Sangat menyelerakan makan udang segar dari ladang.

Lain kali boleh pergi lagi...;p

Update:
Harga sekarang RM70 seorang untuk deposit. Sejam RM14. Harga sewa batang pancing masih sama, RM3.



18 June 2011

Nak Cerita Juga Pasal Nora Elena

Hari Khamis, 16 Jun 2011....Tamatlah sudah cerita drama yang jadi igauan anak - anak dara dan mak - mak dara yang berangan nak dapat pakwe dan suami macam Seth Tan.

Nak tergelak pulak dengar masing - masing bercerita dan berangan nak dapat lelaki macam tu. Mimpi sampai ke sudah la kalau nak dapat lelaki macam tu zaman sekarang ni. Hehehe

Aku cakap macam tu, sebab bosan dengar soalan "Kenapa tak jadi macam Seth Tan?". Perlu ke aku jadi hipokrit semata - mata nak jadi Jejaka Idaman Malaya. Tak payahlah.

Karang asyik mengungkit je. "Dulu romantik macam Seth Tan. Sekarang romantik macam setan." Malas aku nak dengar bebelan.

Sebenarnya bukan pasal keromantikan khayalan Seth Tan yang aku nak cerita. Tapi pasal kereta kesayangan Seth Tan yang aku nak cerita. Dalam drama tu ada kereta kesayangan Seth Tan yang kononnya orang lain tak boleh sentuh. Tapi Nora Elena boleh.

Di bawah ni adalah gambar - gambar kereta tersebut.



Gambar - gambar ni eksklusif sebab ini adalah kereta abang ipar kepada kawan sepejabat aku. Kereta ni telah digunakan sebagai props untuk drama Nora Elena ni. Dan menjadi kereta kesayangan Seth Tan.

Dah lama aku minta gambar ni. Baru dapat tadi. Masih panas lagi. Aku puas juga google cari gambar kereta kesayangan Seth Tan ni. Alih - alih ofismate aku boleh dapat gambar kereta ni senang - senang je. Kalau aku tau tak payah penat - penat google.

Apa - apapun, drama Nora Elena dah tamat. Jadi ni pos pertama dan terakhir tentang Nora Elena. Tak tau lah kalau aku sebut nama Seth Tan dalam entri - entri selepas ni.


p/s: Tertunggu - tunggu juga novel apa yang akan jadi drama selepas ni?...;p

15 June 2011

Azam Setengah Tahun

Sekarang dah masuk pertengahan bulan Jun. Dengan kata lain dah enam bulan, tahun 2011 berlalu. Masa awal - awal tahun hari tu. Beria - ria pasang azam.

Ada azam nak kurangkan merokok, azam nak kuruskan badan dan azam nak kahwin tahun ni. Jadi aku nak tanya, bila dah setengah tahun ni, azam yang dibuat sekarang dalam peringkat mana??

Kalau ikut logik, sepatutnya azam tu dah sampai peringkat tengah - tengah. Maksudnya dah 50% nampak hasilnya. Kalau masih 30% atau 45%, sempat ke azam tu tercapai hujung tahun ni?

Jangan pulak azam tahun ni, di bawa ke tahun depan. Tu bukan azam. Nanti ada pulak azam "Nak selesaikan azam tahun lepas". Tak guna pasang azam kalau macam tu.


Azam aku tahun ni, nak berjimat cermat. Dalam bank aku kena ada sekurang - kurangnya RM5000 sebelum hujung tahun. Tak termasuk duit simpanan tahun lepas.

Kalau aku simpan lebih RM500 sebulan memang boleh capai azam aku tu. Aku rasa aku boleh capai sebelum hujung November. Tapi dekat nak bulan puasa, lepas tu raya pulak. Mungkin kurang sikit untuk bulan tu. Gaji aku bukan banyak. Tinggal pulak kat KL. Dapat berjimat RM50 sebulan pun dah kira bersyukur.

Bila aku tanya kawan - kawan aku, azam diorang dah sampai mana?. Ada yang kata, "Buat azam lain lah". Maksudnya azam yang sebelum ni, dah terkubur la tu. Sebab tu buat azam baru. Kalau macam tu, sah lah azam tu akan di bawa ke tahun depan.


Kadang - kadang terfikir jugak, perlu ke buat azam tiap - tiap tahun?. Rasanya tak perlulah. Yang penting tanam niat dalam diri untuk jadi insan yang lebih baik dari tahun sebelumnya dan diredhai Allah s.w.t. Itu yang penting.

Kalau azam bagai nak rak, tapi selalu menyakitkan hati orang. Tak guna jugak. Buat orang benci kat kita je. Mana hidup nak berkat. Sebab tu azam tak pernah tercapai.

Apa - apapun sebelum kita berazam tu, niat kena betul. Dan pastikan apa yang kita azam tak menyimpang dari ajaran agama.

Dan didoakan semoga azam tahun 2011 kita semua akan tercapai.....Amin;p

14 June 2011

Derma Darah

Perhatian!! Hari ini adalah Hari Derma Darah Sedunia. Jomlah pakat - pakat derma darah.

Jangka hayat darah 42 hari dan platelet
darah hanya 5 hari.

Bercakap pasal derma darah, ramai orang cakap derma darah ni boleh menggemukkan. Aku tak pasti nak cakap betul atau tak. Tapi yang pasti kali terakhir aku derma darah, selera makan aku bertambah. Mungkin disebabkan nak menggantikan jumlah darah yang diambil.

Bila selera makan bertambah, kurang pulak beriadah mungkinlah tu faktor yang menyebabkan berat badan aku naik. Hampir 5 kilo jugaklah. Tapi nasib baik dapat kurangkan balik.

Kali pertama aku derma darah, biasa je. Tak de yang menggerunkan sangat sebab aku bukan jenis yang takut jarum. Jarum dia besar jugaklah, tapi lepas dibius tak rasa apa pun. Darah aku jenis B positif. Aku tak tau apa yang positifnya.

Sijil derma darah yang digunakan untuk merekod
kekerapan menderma darah.

Satu lagi pengalaman aku derma darah ni, bila jarum dicucuk oleh jururawat yang kurang mahir. Aku dah kena. Sampai seminggu jugaklah lebam kat tangan tak hilang. Jumlah darah yang dikumpul pun tak cukup. Masa jarum dicucuk oleh nurse tu, aku dah boleh agak tangan aku akan lebam. Sebab yang dia cucuk bukan urat tapi isi tangan, mana tak lebam kan.

Urat tangan atau vein aku ni jenis halus. Kalau tak mahir memang akan bermasalah. Kalau dapat dekat nurse yang mahir tak de masalah. Tapi benda tu semua pengalaman. Aku tak serik. Sekurang - kurangnya, darah aku berganti. Bagus untuk kesihatan.

Sekali lagi aku ajak, jomlah derma darah ramai - ramai. Tak sakit pun...;p

13 June 2011

Trip Selatan - Part 1

Baru - baru ni, err, tak baru sangatlah. Ada dalam 2 bulan lepas. Aku dan seorang kawan aku pergi makan angin untuk mereleasekan tension dan merehatkan minda.

Aku dan kawan aku ni merancang untuk trip ke selatan menggunakan jalan No. 1 dan No. 5 di Semenanjung Malaysia ni.

Bagi yang tak tahu apa itu jalan No. 1 dan jalan No. 5, kalau korang perasan dalam peta ada tulis nombor - nombor di sepanjang jalan. Ada juga terdapat di papan - papan tanda jalan. Itulah jalan bernombor yang aku maksudkan. Seperti dalam gambar.

Nombor - nombor jalan di jalanraya Malaysia

Perjalanan kali ni, kami ambil masa dua hari sahaja. Bertolak pada petang Jumaat, balik pada petang Ahad. Jadi mungkin akan bermalam di hotel tertentu je. Tanpa tempah bilik. Kira macam bagpackers jugak la. Tapi kami pergi dengan menaiki kereta.

Dengan hanya berbekalkan GPS di dalam handphone dan peta kami meneruskan perjalanan. Penamat trip hari pertama kami adalah di Melaka.

Banyak jugak tempat yang kami lalu. Saja nak tengok pemandangan di negeri lain. Ikut jalan lama, bukan ikut lebuhraya seperti kelaziman. Kebanyakkan gambar yang aku tangkap dari dalam kereta je. Selain nak jimatkan masa, tak banyak tempat menarik yang boleh di singgah. Hanya singgah isi minyak je, sambil beli bekalan.

Kami rancang untuk  melalui Lukut, Port Dickson, Merlimau dan seterusnya hingga ke Bandar Melaka. Itu apa yang kami rancang untuk hari pertama.

Melalui jalan lama pada hari pertama kebanyakkan tempat yang dilalui sama je dengan negeri - negeri lain. Tapi bila masuk daerah Merlimau, aku baru rasa macam nak bermastautin di situ. Rumah - rumah kampung di situ kemas dan cantik. Sangat teruja tengok keadaan kampung kat situ. Mungkin sebab baru selesai pilihanraya.

Kami singgah sebentar untuk minum petang sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Melaka. Dalam part 2 nanti baru aku cerita apa yang kami buat di bandar Melaka....;p

Gambar - gambar di hari pertama trip.


Perjalanan bermula di Putrajaya
Daerah Lukut
Port Dickson - Tak singgah pun mandi - manda.
Tengah panas;p
Air membiru di muara sungai
Selamat Datang Ke Melaka
Rumah Kampung di Merlimau
Alor Gajah
Bentuk lazim masjid di Melaka
Sampai ke Bandar Melaka