20 April 2011

Emel 1Malaysia

Dalam berita hari ni, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi  di dalam portal web E-mel 1Malaysia.

Emel ni nanti akan menjadi wadah dan platform untuk agensi - agensi kerajaan menyampaikan perkhidmatan dan maklumat kepada rakyat.


Pendapat aku;
Satu usaha yang bagus kot. Sekurang - kurangnya, berita dan maklumat dari kerajaan adalah terus dari kerajaan sendiri. Bukan melalui medium lain seperti media cetak dan media elektronik. Kalau betul la terus dari kerajaan. Apa - apa pun tunggu dan lihat je la.

Berita Harian.
Wujud perhubungan langsung warga berusia 18 tahun ke atas dengan kerajaan


PUTRAJAYA: Mulai Julai ini rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia yang membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam.
Projek E-mel 1Malaysia (1MY) itu juga bagi mewujudkan perhubungan lebih telus dan selamat rakyat dengan kerajaan, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam kepada rakyat kerana ia berfungsi sebagai portal sehenti untuk perkhidmatan beberapa agensi kerajaan.
Ia juga akan melengkapi beberapa perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini seperti portal rasmi kerajaan, myGovernment dan portal aplikasi kerajaan elektronik (e-kerajaan), MyEG. 

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pengumuman projek baru Program Transformasi Ekonomi (ETP), di ibu negara semalam. 

Laman portal sehenti berkenaan akan dibangunkan oleh syarikat senarai Bursa Malaysia, Tricubes Bhd dan menyediakan perkhidmatan sokongan seperti rangkaian sosial, pembayaran bil dalam talian dan permohonan kerakyatan menerusi pautan. 

Ketua Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar, berkata syarikat berkenaan yang terbabit dalam perniagaan kemudahan teknologi untuk segmen enterpris dan pengguna akan melabur RM50 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan sistem e-mel berkenaan dan dijangka menyumbang RM39 juta kepada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020. 
Khairun Zainal berkata, Tricubes akan memiliki dan mengendalikan sepenuhnya portal sehenti berkenaan kerana ia adalah inisiatif swasta. 

“E-mel 1Malaysia akan menjadi e-mel peribadi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan. Kami sedang meninjau untuk meletakkan notis dan pengumuman penting daripada kerajaan dihantar terus dalam peti e-mel pengguna,” katanya. 

Ditanya mengenai perbezaan portal e-mel 1 Malaysia dengan MyEG, beliau berkata MyEG ditumpukan kepada perkhidmatan pembayaran bil, manakala E-mel 1Malaysia untuk menyampaikan notis dan maklumat kerajaan. 

Beliau menjelaskan, Tricubes kini sedang meninjau beberapa cara untuk menjadikan pendaftaran akaun e-mel berkenaan secara automatik kepada pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas. 



INFO: E-mel 1 Malaysia 



  • Dikendalikan oleh Tricubes Bhd yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang biometrik dan kad pintar. 


  • Dimiliki sepenuhnya oleh Tricubes menerusi bidaan terbuka Unit Perancangan Pengurusan dan Pemodenan Pentadbiran Malaysia (MAMPU). 


  • Menjadi platform utama dan rasmi bagi komunikasi dua hala rakyat dengan kerajaan. 


  • Dilengkapi pautan yang membolehkan beberapa urus niaga berkaitan agensi kerajaan dilaksanakan. 
  • No comments:

    Post a Comment